KHUTBAH
JUMAAT : INSURANS MENURUT PANDANGAN ISLAM
Khutbah Jumaat di Masjid Besar Shah Alam
12hb. Mei, 2000
Sidang
Jumaat yang dihormati Allah, Umat Islam wajib mengamalkan ajaran dan
peraturan yang ditetapkan oleh Islam sepenuhnya dalam semua aspek
kehidupan termasuklah sistem kewangan dan sistem perlindungan insurans
yang berlandaskan kepada syariat atau hukum syarak. Hal ini amat penting
dipraktikkan demi membina ekonomi Islam yang lengkap untuk kemudahan
umat. Memandangkan perlindungan adalah satu keperluan dan tidak boleh
diambil ringan oleh setiap anggota masyarakat bagi menghadapi sebarang
kemungkinan berlakunya musibah atau tragedi maka salah satu bentuk
perlindungan yang boleh disertai selama ini oleh umat Islam ialah
insurans. Insurans boleh difahami sebagai satu akidah di mana satu
kumpulan masyarakat berikrar untuk mengumpul segala usaha dan sumber
untuk mengwujudkan satu pakatan untuk saling bekerjasama sesama mereka
jika ditakdirkan sesiapa sahaja di antara mereka ditimpa musibah.
Melalui pakatan ini, ahli kumpulan yang dilanda musibah itu akan
mendapat manfaat perlindungan yang biasanya dalam bentuk sejumlah wang.
Dengan adanya manfaat seumpama ini diharapkan apa-apa bebanan yang
terpaksa dipikul akibat musibah yang menimpa akan dapat diringankan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesetengah orang mempertikaikan apakah sistem yang wujud dalam insurans
ini sebenarnya datang dari Islam atau rekaan dari Barat ? Sebenarnya
sistem perlindungan yang disebut insurans ini berasal dari kaedah yang
digunakan oleh pedagag-pedagang Arab di Tanah Arab sebelum kedatangan
Islam lagi. Mereka merupakan generasi pertama yang mempraktikkan konsep
perlindungan selama ini. Mereka berdagang dengan merentasi padang pasir,
membawa barang dagangan menggunakan unta, mengembara daripada sebuah
negeri ke sebuah negeri yang lain secara berkumpulan (khafilah). Dalam
menjalankan urusniaga seperti ini mereka sentiasa terdedah kepada
kemungkinan berlakunya pelbagai bahaya, musibah dan bencana seperti
rompakan oleh lanun padang pasir, dilanda ribut padang pasir, pembunuhan
dan lain-lain ancaman sehingga boleh menyebabkan bukan sahaja kerugian,
kemusnahan dan kehilangan barang dagangan mereka, malah juga boleh
mendatangkan ancaman kepada nyawa pedagang-pedagang itu sendiri.
Bagi mengatasi atau meringankan ancaman dan bebanan ini maka
pedagang-pedagang Arab pada ketika itu telah saling berpakat antara
mereka mengagih-agihkan barang dagangan kepada beberapa khafilah atau
rombongan perniagaan. Oleh itu jika ditakdirkan berlaku sesuatu musibah
ke atas mana-mana khafilah, maka kerugian, kemusnahan dan kehilangan
harta benda yang dialami hanya sekadar terhad kepada khafilah yang
ditimpa musibah itu sahaja dan tidak kepada khafilah-khafilah yang lain.
Apabila agama Islam datang dan seterusnya tertegak negara dan kerajaan
Islam di Madinah, maka beberapa sistem yang diamalkan mengikut adat
resam Arab sebelum itu terus dikekalkan selagi mana ianya tidak
bercanggah dengan syariat Islam. Antara sistem ini ialah yang berkaitan
dengan prinsip bantu-membantu dan saling bekerjasama di kalangan
masyarakat. Di dalam masyarakat kita di kampung-kampung khususnya
terdapat juga amalan yang berteraskan prinsip saling bantu-membantu dan
bekerjasama sesama ahli masyarakat seperti perlaksanaan tabung khairat
kematian.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Penyertaan umat Islam khususnya dalam pelbagai bentuk kemudahan
perlindungan yang disediakan oleh sesetengah syarikat insurans ini telah
menimbulkan keraguan kepada mereka dari segi hukum syarak. Ini
disebabkan mereka merasakan bahawa perjalanan perlindungan insurans ini
tidak selari mengikut hukum syarak. Sehubungan dengan ini, para ulamak
dan pakar perundangan Islam dari negara-negara Islam telah menjalankan
kajian terperinci mengenai kaedah pengendalian dan perjalanan syarikat
insurans. Pada umumnya mereka berpendapat kontrak insurans yang
berasaskan akad jualbeli tetapi tidak menepati rukun jualbeli mengikut
syarak kerana mengandungi tida unsur yang menyebabkan kontrak tersebut
tidak selari dengan kehendak hukum syarak.
Tiga unsur yang dimaksudkan itu ialah :
1. Gharar
Gharar memberi erti tidak jelas, kabur dan terdapat penipuan dalam
perjanjian. Islam mensyaratkan bahawa sesuatu perjanjian yang hendak
dimeterai antara mana-mana pihak mestilah jelas tentang perkara yang
menjadi isi kepada perjanjian tersebut. Contohnya apabila musibah
berlaku maka pihak syarikat mesti membayar tuntutan yang telah
dijanjikan. Tetapi di dalam perjanjian, ada sesetengah pihak tidak
menjelaskan bagaimana dan beberapa jumlah tuntutan itu dibayar, sekian
banyak tuntutan yang dijanjikan. Maka ini dinamakan gharar, begitu juga
dengan mana-mana perjanjian yang terlalu berat sebelah sehingga boleh
membawa kepada kerugian kepada satu pihak yang berjanji, maka perjanjian
itu juga dikira mengandungi unsur gharar yang diharamkan itu.
2. Judi
Iaitu apabila pihak yang memeterai perjanjian tidak membuat apa-apa
tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan maka dia tidak akan mendapat
apa-apa manfaat walaupun sebelum ini dia telah membayar caruman kepada
syarikat. Maka caruman itu dikira hangus begitu sahaja, kecuali jika
pihak yang mencarum tersebut membuat tuntutan disebabkan sesuatu musibah
dalam tempoh tertentu. Konsep membayar tuntutan hanya apabila berlaku
musibah dan tanpa tuntutan ianya dikira hangus, maka ianya sama dengan
konsep perjudian kerana ada unsur pertaruhan. Firman Allah s.w.t. di
dalam Al-Quraan AlKarim surah Al-Maidah ayat 90 yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menyembah
berhala dan bertenung nasib adalah amalan keji daripada amalan syaitan.
Justeru itu, hendaklah kamu menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat
kejayaan”
3. Riba Iaitu mengenakan bayaran tambahan yang tinggi bagi setiap hutang
yang diberikan mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pihak yang
terlibat dengan urusan tersebut. Ia merupakan satu amalan yang
diharamkan oleh syarak dalam aktivit-aktiviti kewangan dan pelaburan
sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quraan AlKarim surah
Al-Baqarah ayat 278 yang bermaksud :
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah saki baki riba (dalam urusan kamu) sekiranya kamu
benar-benar orang yang beriman.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Majlis Akadami Feqah Al-Islam yang dihadiri oleh pakar perundangan
syariat dalam pelbagai disiplin ilmu dari seluruh dunia dalam satu
persidangan pada bulan disember 1985 telah memperakukan bahawa
perjanjian insurans yang mengandungi tiga unsur yang disebutkan tadi
adalah tidak selari dengan landasan syariat. Insurans yang harus di sisi
Islam hendaklah semestinya berlandaskan kepada prinsip kerjasama. Firman
Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :
Bekerjasamalah kamu dalam perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan
janganlah kamu bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh
menimbulkan permusuhan. Sesungguhnya Allah amat keras siksaNya”
Berdasarkan maksud ayat Al-Quraan tersebut, agama Islam menghendaki
umatnya agar bekerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain
dalam hal-hal kebajikan dan sebaliknya melarang kita bantu-membantu
dalam melakukan kejahatan serta bermusuh-musuhan.
Dalam masyarakat Melayu, amalan bantu-membantu dalam kebajikan ini sudah
lama dilaksanakan. Pepatah Melayu ada menyebut : "Bulat air kerana
pembentung, bulat kata kerana muafakat. Ke gunung sama didaki, ke lurah
sama dituruni. Setitik jadikan selaut. Sekepal jadikan segunung.
Misalnya bagi meringankan beban kerja dan menjimatkan belanja maka usaha
bergotong-royong oleh penduduk sesebuah kampung dalam sesuatu aktiviti
kemasyarakatan menjadi amalan biasa satu ketika dahulu. Begitu juga
dengan tabung khairat kematian yang diwujudkan di kampung-kampung yang
biasanya berpusat di masjid atau surau bagi mambantu waris atau
tangungan mana-mana ahli kariah ayng meninggal dunia. Melalui tabung
khairat kematian ini, ahli-ahli akan mambayar sejumlah wang dan daripada
wang yang terkumpul inilah kahirat kematian akan dibayar kepada ahli
waris yang meninggal dunia itu.
Berdasarkan hakikat ini, insurans secara Islam hendaklah berasaskan
prinsip saling bekerjasama dan bantu-membantu dan berpandukan ciri-ciri
ini jugalah maka ulamak feqah memutuskan bahawa sistem insurans yang
boleh diterima mengikut landasan syariat hendaklah berasaskan kepada
konsep Takaful. Justeru itu, menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam
untuk menyertai perlindungan insurans yang berkonsepkan Takaful seperti
yang diamalkan oleh beberapa negara seperti Sudan, Arab Saudi, Malaysia
dan lain-lain lagi. Semoga kehidupan umat Islam hari ini dalam menyertai
perlindungan insurans itu tidak menyimpang daripada landasan syariat
yang sebenarnya.
|